Wednesday, 28 March 2012

Perkampungan Menara Gading Negeri Sembilan 2012 (PMGNS'12)



Sukacitanya ingin memaklumkan bahawa PPINS akan menganjurkan satu program yang diberi nama Perkampungan Menara Gading Negeri Sembilan 2012 ( PMGNS'12). Oleh itu pihak PPINS dengan berbesar hati ingin menjemput dan mengajak semua pelajar Tingkatan 5, Tingkatan 6, Lepasan SPM, STPM dan STAM bagi menyertai program ini. Penyertaan anda sangatlah kami hargai. 

Maklumat lanjut tentang PMGNS'12 :

Terbuka kepada semua pelajar Tingkatan 5, Tingkatan 6, Lepasan SPM, STPM & STAM

Tempat :

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Benting, Kuala Pilah

Masa :

13 April 2012 - 15 April 2012

Objektif :
  • Membimbing remaja agar mempunyai visi & misi ke menara gading
  • Pengenalan kepada kehidupan universiti
  • Memberi tunjuk ajar mengenai pilihan kursus
  • Pendedahan dan memberi peluang kepada bakal mahasiswa untuk mengenalpasti tempat pengajian yang bakal dipilih
  • Mengasah bakat kepimpinan dan kredibiliti sebagai mahasiswa cemerlang

Tentatif Program:
 
JUMAAT (13 April 2012)
2.30pm                        : Pendaftaran
4.30pm                        : Solat Asar Berjemaah
5.00pm                        : Pendaftaran peserta dan pembahagian keperluan program
5.15pm                        : Taklimat program + Pengenalan fasi & komiti
6.15pm                        : Makan malam + Kendiri
7.20pm                        : Solat Maghrib + Mathurat
7.45pm                        : Kuliah Maghrib 1 (Nawaitu)
8.30pm                        : Solat Isyak secara berjemaah
8.50pm                        : Semua peserta dan fasilitator berkumpul di Dewan Utama
9.00pm                        : Mass
9.15pm                        : LDK 1 (Ta’aruf + Pecah Ais +  Tancap niat)
10.30pm                      : Minum malam + Al-Mulk + Kembara mimpi


SABTU (14 April 2012)
5.00am                         : Qiamullail
6.00am                         : Solat Subuh + Mathurat
6.30                             : Kuliah Subuh I (Kemuliaan seorang Muslim)
7.00am                         : Riadhah bermodul
8.00am                         : Sarapan pagi + Kendiri diri
8.45am                         : Semua peserta berkumpul di Dewan Utama
9.00am                         : Ceramah 1 (Menara Gading: Mengapa Mesti Ke Sana?)
10.30am                       : Minum pagi/Rehat
11.00am                       : LDK 2
12.30pm                      : Makan Tengahari + Solat Zuhur
1.50pm                        : Berkumpul dalam dewan
2.00pm                        : Perkongsian senior
3.15pm                        : Mass (Menara impian)
4.30pm                        : Solat Asar
5.00pm                        : War game
6.15pm                        : Makan malam + Kendiri
7.20pm                        : Solat maghrib + Mathurat
7.30pm                        : Kuliah Maghrib 2 (Anda orang kepercayaan Allah di sini)
8.30pm                        : Solat Isyak Berjemaah
8.50pm                        : Pelajar berkumpul di Dewan Utama
9.00pm                        : Sidang Pleno
11.00pm                      : Minum malam + Al-Mulk + Kembara mimpi


AHAD (15 April 2012)
5.00am                         : Qiamullail
6.00am                         : Solat Subuh + Mathurat
6.30am                         : Kuliah Subuh 2 (Kejayaan Hakiki Seorang Muslim)
7.00am                         : Riadhah bermodul
8.00am                         : Sarapan pagi + Kendiri
8.45am                         : Pelajar berkumpul di Dewan Utama
9.00am                         : Slot “Kenali Universiti Anda”
10.15am                       : Mass
            10.30am                       : SWOT & POA
11.30am                       : Majlis penutupan
12.30pm                      : Sesi bergambar
12.45pm                      : Makan tengahari + Bersurai

Pendaftaran :

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, sila hubungi

  • Saudara Roshafezal : 014-2069022
  • Saudari Atiqah : 013-2508346
Atau SMS kan :

  • PMGNS'12 <jarak> Nama <jarak> No. IC <jarak> Nama Sekolah <jarak> bayaran (semasa/sebelum)
  • Hantar ke 019-6778171
Daftar segera!

Bayaran :

Bayaran peserta sebanyak RM50 sahaja *(sebelum 5 April 2012)

*Selepas 5 April 2012, sebanyak RM80

TARIKH TUTUP PENYERTAAN :

10 April 2012.

Berminat?? Tunggu apa lagi? Jom daftar!

Tuesday, 6 March 2012

Kem Jambori Remaja Islam ABIM (KEJORA '12)

Sempena cuti sekolah pada minggu hadapan,  PPINS dgn sukacitanya mengajak & menjemput semua yg mempunyai adik-adik atau ahli keluarga berumur 12-18 tahun ke Kem Jambori Remaja Islam ABIM (KEJORA '12) pada ketetapan berikut:


Tarikh: 14-16 MAC 2012 (Rabu-Jumaat)
Masa: 10.00 pagi (Rabu) hingga 12.30 t/hari (Jumaat)
Tempat: D' Kok Eco Camp, Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan
 
Bayaran: RM 80 sahaja
OBJEKTIF PROGRAM
  1. Melahirkan remaja muslim yang bersifat kental semangan dan berani untuk berhadapan dengan cabaran,  sekaligus menerapkan nilai-nilai sifat kesukarelawanan terhadap masyarakat setempat. 
  2. Melahirkan remaja muslim yang berperibadi dan berakhlak mulia. 
  3. Membentuk remaja muslim yang mendorong orang lain melakukan kebaikan  dan mencegah melakukan kemungkaran (amar ma’ruf nahi mungkar). 
  4. Melahirkan pelajar yang mempunyai motivasi yang tinggi yang akan membantu pelajar lebih bersifat yakin pada diri sendiri.
ATURCARA PROGRAM
HARI 1 (14 Mac 2012)
10.00 – 11.00 pg              : Pendaftaran Peserta
11.00 – 12.00 tgh            : Taklimat program / Pembahagian kumpulan
12.00 – 02.00 ptg            : Rehat / Solat Zohor
02.00 – 03.00 ptg            : LDK 1: Suai Kenal / Pecah bendungan / Tancap niat
03.00 – 04.00 ptg            : Survival 1: Potensi Diri (Water Confident)
04.00 – 05.00 ptg            : Rehat / Solat Asar
05.00 – 06.00 ptg            : Riadah 1: Group Binding (Bina Gajet)
06.00 – 07.00 mlm          : Khidmat Diri / Makan Malam
07.00 – 09.30 mlm          : Solat Magrib / Mathurat / Solat Isyak / Taklimat Disiplin
09.30 – 11.00 mlm          : Ceramah: ”Pelajar Islam Aset Kecemerlangan Ummah”
11.00 – 11.30 mlm          : Bacaan al-Mulk / Minum Malam
11.30 – 12.00 mlm          : Kembara Mimpi

HARI 2 (15 Mac 2012)
05.00 – 07.00 pg              : Qiamullail / Solat / Kuliah subuh
07.00 – 07.30 pg              : Khidmat Diri
07.30 – 09.30 pg              : Riadah 2: War Game
09.30 – 10.00 pg              : Rehat / Minum Pagi
10.00 – 12.00 pg              : LDK 2: Diskusi Malam Aspirasi
12.00 – 02.00 ptg            : Solat / Makan Tengahari
02.30 – 04.30 ptg            : Survival 2: Kembara Alam
04.30 – 05.00 ptg            : Solat Asar
05.00 – 06.00 ptg            : Survival 3: Sembelihan & Cabaran Memasak
06.30 – 07.30 mlm          : Khidmat Diri / Makan Malam
07.30 – 09.00 mlm          : Solat / Kuliah
09.00 – 12.00 mlm          : Aspirasi Seni Pelajar Islam & Muhasabah Zikir
12.00 – 12.30 mlm          : Bacaan al-Mulk / Minum Malam

HARI 3 (16 Mac 2012)
05.00 – 07.00 pg              : Qiamullail / Solat Subuh / Kuliah
07.00 – 08.30 pg              : Riadah 3: Gotong-Royong
08.30 – 09.15 pg              : Khidmat Diri / Sarapan Pagi
09.15 – 10.30 pg              : LDK 3: Bola Impian
10.30 – 10.45 pg              : Rehat
10.45 – 12.30 tgh            : Pengenalan PPINS / Majlis Penutup
12.30 – 02.00 ptg            : Bersurai / Solat Jumaat
  Untuk pendaftaran & maklumat lanjut, hubungi Sdri. Atiqah (Setiausaha Kerja PPINS) di talian 013-2508346 atau 06-7630789. Pendaftaran dibuka sehingga Isnin, 12 Mac 2012.

Tempat adalah terhad!

Friday, 24 February 2012

Program PPINS di Februari!

Antara program-program PPINS bulan Februari:

1) Sambutan Maulidurrasul ABIMNS

- 11 Februari 2012 (Sabtu)
- Masjid Tmn Panchor Jaya, Seremban

2) Kem Qiyadi Sekolah Menengah Rendah Agama Jempol (SMRA Jempol)

- 17-19 Februari 2012 (Jumaat-Ahad)
- Gunung Dato', Rembau
- PPINS sebagai Fasilitator, seramai 9 orang

3) Back to Basic Siri 3 (B2B 3)

- 17-19 Februari 2012 (Jumaat-Ahad)
- sekitar Bandar Tampin
- sukarelawan yang telah turut serta seramai 9 orang

4) Kursus Asas Fasilitator Siri 3

- 25 Februari 2012 (Sabtu)
- 8 pagi hingga 5 petang
- Dewan as-Siddiq, Wisma ABIM NS

5) Pertandingan Bowling 3 Generasi (ABIMNS, PPINS, WADAH NS)

- 26 Februari 2012 (Ahad)
- 2 hingga 5 petang
- Seremban Parade
- sasaran peserta seramai 40 orang


Mari bersama-sama kami mendapatkan manfaat. Semoga usaha-usaha ini mendapat keredhaan Allah & menjadi asas penyatuan ummah.


Dikemaskini oleh,
Setiausaha Kerja PPINS

Friday, 13 January 2012

Perkongsian Usrah HELWA ABIM NS

Tarikh: 15 Disember 2011
Tempat: Taman Sakura (Rumah YDP ABIM NS)
Masa: 5.30 petang

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakaatuh..

Alhamdulillah, pada 15 Disember yang lepas saya telah berkesempatan untuk menghadiri Usrah HELWA (Hal Ehwal Wanita) ABIM NS bersama-sama sahabat-sahabat sepejabat Sekretariat ABIM NS. Sepanjang 7 bulan saya berkhidmat di sini saya telah dapat mengikuti beberapa siri Usrah HELWA, dan in sya ALLAH kali ini saya akan berkongsikan sedikit ilmu & dapatan dari usrah tersebut. Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf atas kelewatan perkongsian ini selama hampir sebulan. Tapi in sya ALLAH, hari ini saya akan kongsikan di sini.

Sebelum itu, ingin saya maklumkan bahawa di dalam Usrah HELWA ABIM NS, tajuk-tajuk yang dibincangkan ialah sudah pastinya ayat-ayat suci al-Quran, Hadith dan bedah buku. Bahan rujukan yang digunakan ialah Tafsir Al-Quran, Hadith 40 Imam Nawawi dan buku Fiqh Manhaji Imam as-Syafie Rahimahullah. Perbincangan Al-Quran dan Hadith adalah bergilir-gilir setiap minggu.

Hadith 18: Perkara Taqwa



Daripada Abu Zar Jundub ibn Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu'az ibn Jabal, r.a.,
daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda:
Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengankebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia denganbudi pekerti yang baik.
Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan. Dalam setengah manuskrip, ia adalah Hadis Hasan Sohih.

Isi-isi penting di dalam Hadith ini:

- Hendaklah bertaqwa kepada Allah di mana sahaja kita berada.
- Ikutilah kejahatan dengan kebaikan.
   Ini bermakna sesiapa sahaja yang melakukan sesuatu kejahatan, hendaklah dia melakukan kebaikan selepas kejahatan itu bagi menghapuskan kejahatan yang telah dilakukannya itu. Kebaikan-kebaikan itu termasuklah solat, berpuasa, bersedeqah dan sebagainya. Sepertimana firman Allah dalam Al-Quran:


"Dan laksanakanlah solat pada kedua hujung siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan malam. Perbuatan-perbuatan baik itu menghapus kesalahan-kesalahan. Itulah peringatan bagi orang-orang yang selalu mengingat (Allah)."


- Berperangailah (bergaul) dengan sesama manusia dengan perangai yang baik.
   (Sesiapa yang hubungannya baik dengan Allah, pasti hubungannya dengan manusia pun turut baik).

Kesimpulan:
1) Hak Allah: Taqwa kepada Allah.
2) Hak mukallaf: Hapuskan kejahatan (setiap kejahatan yang dilakukan hendaklah diikuti dengan amal kebaikan selagimana kejahatan itu termasuk dalam golongan dosa kecil).
3) Hak hamba: Memperelokkan pergaulan sesama anggota masyarakat.
4) Menjauhi segala dosa besar adalah syarat untuk menghapuskan segala dosa-dosa kecil. Dapat difahami di sini bahawa melakukan amal kebaikan ialah cara untuk menjauhi segala dosa besar tersebut.

FIQH MANHAJI : BAB BELAT DAN BARUT

Belat (jabirah جَبِÙŠْرَØ©ٌ) ialah pembalut tulang yang retak atau patah supaya tulang tersebut bertaup semula. Di dalam zaman sekarang belat boleh ditafsirkan sebagai simen yang digunakan untuk membalut keretakan tulang.

Barut ('isabah عِصَابَØ©ٌ) ialah pembalut luka untuk mengelakkan kekotoran sehingga ia sembuh. Barut boleh ditafsirkan sebagai pembalut tangan (handyplus) yang biasanya dipakai untuk menutup luka-luka kecil.

Hukum menggunakan belat atau barut
Sekiranya diperlukan balutan tersebut, maka hendaklah mematuhi 3 perkara yang berikut apabila mengangkat hadath.
  • Basuh sekitar bahagian anggota yang cedera
  • Sapu semua bahagian belat dan barut dengan air (cukup sekadar menyapu tetapi bukanlah sehingga membasahkannya)
  • Apabila sampai kepada anggota yang cedera ketika berwudhu' hendaklah bertayammum sebagai ganti membasuh anggota yang cedera itu.
Penjelasan:

Jika anggota yang patah atau luka itu tidak memerlukan balutan, wajib dibasuh anggota yang tidak cedera dan bertayammum ketika sampai di bahagian yang cedera yang tidak boleh dibasuh.

Tayammum wajib diulang bagi setiap solat fardhu, sekalipun dia tidak berhadath (kerana satu tayammum hanya untuk sekali solat fardhu sahaja).

Tempoh Menyapu Belat dan Barut
Menyapu belat dan barut tidak ada tempoh tertentu selagi masih uzur. Apabila luka telah sembuh dan anggota yang patah telah baik, maka batallah sapuan dan wajiblah mandi.
Sekiranya dia masih berwudhu' sedangkan sapuannya telah batal, dia wajib menyapu anggota wudhu' yang wajib disapu dan membasuh anggota wudhu' yang wajib dibasuh.

Hukum belat adalah sama, sama ada bersuci daripada hadath kecil atau besar. Bezanya adalah bagi hadath besar apabila sapuannya batal, wajib membasuh bekas belatan atau barutan sahaja dan tidak wajib membasuh anggota badan yang lain.

Wajib mengqada' solat bagi pesakit yang memakai belat dalam keadaan berikut:
1- Memakai belat ketika berhadath dan tidak boleh menanggalkannya.
2- Memakai belat pada anggota tayammum.
3- Memakai belat melebihi kadar balutan anggota yang sepatutnya.

Usrah kali ini agak singkat masanya, namun isi perbincangan sangat menarik & bermanfaat. Semoga diberi peluang untuk bersama-sama dalam Usrah HELWA yang seterusnya dengan ahli yang lebih ramai. In sya ALLAH, bi iznihi Ta'ala..

"Usrah merantai ukhwah, menginspirasi dakwah"

Disediakan oleh,
NOR ATIQAH BT. ABD TALIB
Ketua Hal Ehwal Siswi (HEWI)
Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS).

Tuesday, 3 January 2012

PPINS di Program Kepimpinan Muda Bitara 2011 ILIM Besut, Terengganu

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS) telah berjaya menghantar tiga orang wakil dari kalangan pimpinan pusat ke Program Pembangunan Pemimpin Muda Bitara 2011 yang dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 9 hingga 11 Disember 2011 di Institut Latihan Islam Malysia (ILIM) Wilayah Timur, Besut Terengganu. Program ini telah disertai oleh seramai 50 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar-pelajar institusi pengajian tempatan seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Kolej Universiti Shahputra, Kolej Islam Antrabangsa Sultan Ismail (KIAS) dan Universti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) serta beberapa orang ahli dari Skuad ELIT ABIM Besut. 


Program ini merupakan usaha membangun suatu generasi anak muda berketrampilan dan mempunyai daya kepimpinan yang berkualiti serta berjiwa besar. Program pakej latihan pembangunan kepemimpinan ini telah membuka mata calon-calon kepemimpinan masa hadapan tentang matlamat menjadi seorang pemimpin serta memberi pendedahan tentang kepimpinan bersepadu dengan watak khas yang integral. Program Pembangunan Pemimpin Muda Bitara ini mengaplikasikan Model Pembangunan Kepemimpinan dengan empat Input Pembangunan Kepemimpinan (IPK) iaitu idealisme, spiritualisme, intellektualisme, dan aktivisme. 

Pemimpin umpama kepala bagi sesebuah jasad, mereka juga merupakan simbol kesatuan dan kekuatan sesebuah organisasi. Mereka yang mampu menjadi pemimpin yang hebat merupakan individu yang mampu menunaikan tanggungjawabnya sebagai khalifah bersesuaian dengan garis panduan Al-Quran dan As-Sunnah. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Haj, ayat 41:


“Allah pasti akan menolong orang yang menolong agamaNya. Sungguh, Allah Maha Kuat, Maha Perkasa. Iaitu mereka (Umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.

Perjalanan bermula pada hari Khamis malam Jumaat pada jam 10 malam dari UIAM Gombak dan para peserta tiba di Terengganu Darul Iman pada waktu subuh. Setelah mengambil beberapa peserta dari Terengganu yang telah berkumpul di UNISZA, para peserta telah meneruskan perjalanan ke Besut yang mengambil masa kira-kira 2 jam. Aktiviti pada hari Jumaat bagi semua peserta bermula pada jam 2.30 petang dengan acara suai kenal dan pecahan kepada beberapa kumpulan. Seterusnya aktiviti pada hari pertama disambung pada jam 9 malam oleh Tn Hj Noryzal Zainal Abidin dengan slot bertajuk “Lau Kana Bainana” . Banyak ilmu dan pelajaran yang diperolehi pada malam tersebut.


Pada hari kedua, aktiviti bagi semua peserta bermula seawal jam 4.30 pagi yang diisi banyak acara seperti qiyamullail, solat Subuh dan kuliah Subuh. Setelah bersarapan pada jam 8.00 pagi, aktiviti hari kedua diteruskan lagi bagi memupuk ciri kepimpinan Islami dalam diri setiap peserta. Pelbagai aktiviti dilakukan yang rata-ratanya dilakukan dalam bentuk modul bukannya pembelajaran di dalam kelas. Antaranya ialah aktiviti lompat tali, spider web, code breaking, kereta api kertas dan pulau harapan. Tepat jam 3 petang semua peserta yang lengkap berpakaian kemas telah dibawa ke Jertih yang terletak kira-kira 3 kilometer dari Besut. Para peserta telah ditinggalkan disana tanpa mempunyai sebarang barang berharga serta tanpa kad pengenalan diri dan mereka diminta untuk kembali semula ke ILIM, Besut dalam masa kurang dari satu setengah jam. Disini banyak ragam dan kerenah telah dapat dilihat. Ada di antara peserta yang pergi dari gerai ke gerai untuk meminta belas ihsan dan ada juga yang mencari wang bagi digunakan untuk belanja pulang ke ILIM, Besut. Setelah selesai mengerjakan solat Asar dan minum petang para peserta telah berkumpul di dataran kawad bagi menjalani sesi riadah petang dan melakukan aktiviti war games. Meskipun pada ketika itu angin bertiup agak kencang, para peserta dan urusetia masih lagi berusaha menjayakan sesi riadah petang yang cukup bermakna bagi setiap yang ada disitu. Tepat jam 9.00 malam semua peserta telah digerakkan ke dalam kumpulan dan diminta untuk pergi ke Bukit Kuang dalam keadaan gelap gelita tanpa sebarang lampu suluh ataupun pelita. Perjalanan para peserta pada hari itu hanya disirami cahaya rembulan yang memancar indah di langit Darul Iman pada malam itu. Sejurus tiba di kaki gunung para peserta dilepaskan secara individu bagi mendaki bukit tersebut. Alhamdulillah semua peserta selamat tiba ke puncak bukit dan turun semula. Setelah semua peserta selamat turun semula dari Bukit Kuang, mereka semua telah dibawa berjalan menyelusuri jalan pantai untuk kembali ke ILIM, Besut. 




Seterusnya pada hari ketiga hanya aktiviti pembentangan kerja dalam kumpulan dan majlis penutup sahaja dijalankan kerana tempoh waktu agak singkat serta ada dikalangan peserta perlu pulang awal. Sewaktu aktiviti pembentangan kerja kumpulan, rata-rata semua peserta begitu berkorbar-kobar dalam membentangkan kertas kerja serta mempunyai idea yang kreatif dan kreatis dalam membentangkan kerja mereka atau membahas kerja-kerja rakan dari kumpulan lain. Disamping itu semangat berkerjasama dan saling hormat menghormati yang menjadi antara aspek-aspek penting dalam melahirkan seorang pemimpin serta organisasi terancang telah dizahirkan sewaktu aktiviti pembentangan kerja kumpulan. Majlis penutup Program Pembangunan Pemimpin Muda Bitara 2011 telah disempurnakan oleh wakil dari ILIM selaku tuan rumah serta penganjur bersama bagi Program Pembangunan Pemimpin Muda Bitara 2011.


Sesungguhnya dalam melahirkan ciri-ciri kepimpinan dalam diri individu itu sendiri haruslah dimainkan peranan oleh semua pihak. Menjadi seorang pemimpin itu bukanlah hanya sekadar tahu mengarah tapi harusnya pemimpin itu mengerti atau sedar akan diri mereka itu dilantik bagi menjalankan amanah yang tinggi. Sebagai seorang pemimpin, mereka ini harus sedar bahawa setiap gerak geri mereka diperhatikan oleh masyarakat. Jesturu itu, hendaklah mereka ini sentiasa berperkerti mulia tanpa mengira waktu dan ketika serta haruslah diingati setiap amalan yang kita lakukan hanyalah semata-mata kerana ALLAH bukannya mengharapkan keredhaan manusia. Jadi, amatlah  diharapkan agar para pemimpin yang sedia ada atau bakal memimpin untuk mengikhlaskan diri mereka dan amalan mereka semata-mata kerana ALLAH S.W.T.

Disediakan oleh:

Raihan B Md Idris
(Exco Kaderisasi & Perhubungan Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan)

`riadah petang`


`pulau harapan`


`lompat tali`


`riadah`


`pembahagian kumpulan`


`kereta api kertas`


`Bukit Kluang`



Wednesday, 9 November 2011

PERUTUSAN PKPIM SEMPENA AIDILADHA 1432H

Bismillahirrahmanirrahaim..

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang
“Sesiapa yang mengejar ketinggian tanpa berpenat lelah maka dia telah mensia-siakan kerjanya dalam menuntut sesuatu yang mustahil.” –Syair Arab
Alhamdulillah, segala puji dan syukur sama-sama kita rafakkan ke hadrat Allah Subhanahu wataala, kerana dengan limpah kurnianya dapat sama-sama kita mengecap dua nikmat yang cukup besar iaitu nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam juga ke atas Rasul tercinta dengan pengorbanannya dapat sama-sama kita meneruskan perjalanan yang singkat di bumi Allah ini dengan dua nikmat tersebut.
Hari berganti hari, minggu berganti minggu dan bulan terus pantas bersilih ganti. Kehendak dan keperluan manusia masa kini mengasak pemikiran setiap manusia perlunya pengorbanan yang besar dalam mendepani pelbagai ceritera kehidupan.
Allah berfirman, “Dan di antara mereka ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya.”  (Al-Baqarah: 207)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sekali lagi menyeru seluruh umat Islam amnya dan para pelajar khasnya untuk sama-sama menghayati dan mengaplikasikan budaya berkorban yang mana cukup luas tafsirannya.
Ayuh teman-teman, kita teladani kisah Nabi Allah Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail AS dalam mentaati dan berkorban demi memperoleh redha Allah. Mari kita lihat manifestasi kecintaan kedua-duanya kepada Rabb mereka.
Nabi Ibrahim diujii pengorbanannya dalam menghadapi dilema antara menunaikan perintah Allah untuk menyembelih anak yang dicintai dan tanggungjawabnya sebagai hamba-Nya, sebagaimana yang diceritakan kembali oleh Allah SWT melalui firmanNya:
“Nabi Ibrahim berkata, wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu: maka fikirkanlah apa pendapatmu?” [As-Soffat :102]
Nabi Ismail yang mendokong perintah Allah melebihi segala-galanya dengan tenang menjawab:
“Jalankanlah apa yang diperintahkan Allah kepadamu, InsyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” [As-Soffat:102]
Jawapan yang sukar digambarkan dari seorang anak yang soleh jelas menunjukkan tiada apa yang ingin dikejar dalam kehidupan di dunia ini melainkan keredhaan Allah. Bagaimana pula kita yang hanya diuji dengan ujian yang tidak seberapa tetapi sering tersungkur apabila ditagih sebuah pengorbanan yang besar. Semoga Allah melindungi kita semua.
Merenung kepada sirah yang dirakamkan oleh Allah dalam kitabNya itu, marilah sama-sama kita bermuhasabah untuk bukan sahaja melihat saudara mara atau sahabat handai yang berpeluang menjadi tetamu Allah ke Tanah Suci, bahkan kita juga mampu merebut peluang dan kesempatan yang masih berbaki ini untuk berkorban masa dan tenaga dalam apa jua cara untuk agama Allah.
Perkataan atau ayat yang sangat mudah, tetapi memerlukan keyakinan yang sangat tinggi untuk merealisasikan segalanya. Sejarah telah membuktikan bahawa segalanya akan terbalas dengan ganjaran yang lebih hanya dengan berkorban di jalanNya.
Akhir kalam dari saya, semoga kita semua mengambil nilai-nilai sejarah pengorbanan para anbiya’ untuk diteladani dan dihayati dalam kehidupan ini sebagai satu panduan untuk menggapai redha Illahi.
Saya dan seluruh pimpinan PKPIM Pusat sesi 2011/2012 mengucapkan selamat menyambut AidilAdha pada tahun ini dan semoga kita semua terus istiqamah dalam meneruskan penyebaran risalah agungNya. Hidup dan mati hanya untukNya.
“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan gandaan yang banyak.” (Al-Baqarah:245)
“Hidup Mulia Atau Mati Sebagai Syuhadak”
MOHD SHAZNI ABDULLAH
SETIAUSAHA AGUNG
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

PPINS di KUALA PILAH dalam ‘BACK TO BASIC’ Siri 2

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t. 

Alhamdulillah, berkat limpah rahmat dan izin Nya Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS) kali ini sekali lagi telah berjaya merealisasikan satu lagi program yang berbentuk kaji selidik setelah Back To Basic Siri Pertama yang dijalankan di bandar Seremban pada 14-16 Januari 2011. Program tersebut yang mendapat sambutan memberangsangkan dari segi penyertaan dan hasil kajian yang sangat berguna telah membuatkan ianya diteruskan dalam siri yang ke-2 pada 28-30 Oktober 2011. Segala puji bagi Allah S.W.T kerana program ini juga dijayakan oleh mahasiswa dari beberapa buah universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknologi Mara(UiTM) yang turut serta sebagai sukarelawan. Di dalam program ini, satu kaji selidik telah dijalankan mengenai pengetahuan dan kefahaman masyarakat di sekitar daerah Kuala Pilah mengenai aspek-aspek asas Aqidah Islam iaitu Rukun Islam dan Rukun Iman. Saranan Islam bahawa perlunya berhikmah dalam berdakwah telah menyebabkan metod ini diterima pakai dan dipilih oleh kami. Seperti firman Allah S.W.T dalam surah (An-Nahl:125): 

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah[dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
 
Begitu juga dengan hadith Baginda Rasulullah S.A.W. :

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri RadhiyAllahu ‘anhu beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesiapa Dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Andai tiada kemampuan untuk berbuat demikian, maka hendaklah dia mengubah dengan lisannya. Dan jika dia tidak mampu untuk berbuat begitu, maka hendaklah (dikecam) dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. [Hadith riwayat Muslim]

Justeru, kaedah ini kami gunakan dalam usaha menangani masalah kefahaman umat Islam yang semakin meruncing kini dan secara tidak langsung berusaha memperbaiki kelemahan yang ada melalui hasil kaji selidik yang akan dihantar kepada pihak-pihak dan agensi berkaitan. Program seperti ini juga sebenarnya merupakan ‘Tamrin Marahil’ iaitu latihan lapangan bagi setiap ahli gerakan untuk melatih dan melahirkan ahli-ahli PPINS yang berani berdepan dengan masyarakat.

28 Oktober 2011 bersamaan 1 Zulhijjah 1432 Hijrah (Jumaat)
Program bermula jam 3.00 petang dengan persiapan seperti penyediaan kertas soalan kaji selidik dan tag para sukarelawan yang melibatkan beberapa orang sukarelawan. Pada jam 6.00 petang beberapa orang sukarelawan lagi telah hadir. Kemudian disusuli dengan solat jemaah fardhu Maghrib dan menyambung persiapan kertas soalan dan sebagainya sehingga masuk waktu Isya’. Usai solat fardhu Isya’ secara berjemaah, semua sukarelawan menikmati menu makan malam yang telah disediakan oleh AJK Makanan. Program ini seterusnya diisi dengan slot taklimat untuk slot kaji selidik pada hari esoknya dan sedikit perbincangan serta perkongsian mengenai Rukun Islam dan Rukun Iman untuk memastikan para sukarelawan bersedia secukupnya. Sebelum berehat, kami turut bersama-sama dalam menyediakan 200 pek cenderamata buat setiap responden kajian kami pada esok hari. Slot pada hari pertama tamat lebih kurang jam 12.30 malam.






29 Oktober 2011 bersamaan 2 Zulhijjah 1432 (Sabtu)
Tepat jam 5.30 pagi, kami mula bersiap untuk menunaikan Solat Subuh secara berjemaah. Selesai Solat Subuh, kami membaca al-Ma’athurat bersama-sama. Kemudian para sukarelawan diberi masa untuk mempersiapkan diri dan tepat jam 8.00 pagi semua sukarelawan telah berkumpul untuk bersarapan pagi bersama. Sebelum kami bertolak ke Kuala Pilah pada jam 9.30 pagi, waktu yang bersisa kami isikan dengan menyiapkan beberapa lagi persiapan yang masih belum selesai berikutan beberapa masalah teknikal seperti mesin fotostat yang sering tergendala berpunca dari  overheated.









Tepat jam 9.30 pagi kami mula berkumpul di perkarangan tempat letak kereta di bawah Pejabat Sekretariat PPINS, Wisma ABIM Ampangan, Seremban. Setelah berada dalam dua buah kenderaan yang telah ditetapkan, kami mula bertolak menuju ke destinasi tujuan iaitu satu kumpulan menuju ke terminal bas pekan Kuala Pilah dan manakala satu kumpulan lagi menuju ke Masjid Jamek Kuala Pilah.






Alhamdulillah lebih kurang jam 10.30 pagi, kedua-dua kumpulan telah sampai ke destinasi masing-masing. Slot kaji selidik kini bermula. Setiap kumpulan mula mengorak langkah bagi mencapai target jumlah responden seramai 200 orang secara keseluruhan. Responden yang ditemui dari berbilang usia. Namun begitu kami tetap meletakkan had umur untuk para responden iaitu dari 13-40 tahun.





Setelah bertungkus lumus berusaha bagi mencapai target responden yang telah ditetapkan, lebih kurang jam 5.30 petang, kedua-dua kumpulan akhirnya berkumpul semula di Hutan Lipur Ulu Bendul iaitu destinasi terakhir kami menjalankan kaji selidik ini dan mula bertolak pulang ke pejabat Sekretariat PPINS.




Alhamdulillah, tepat jam 6.00 petang kami telah sampai di pejabat Sekretariat PPINS. Disebabkan keletihan, para sukarelawan diberi masa sendiri sehingga  selesai solat fardhu Isyak iaitu jam 8.30 malam. Slot malam itu diteruskan dengan makan malam bersama-sama pada jam 9.00 malam. Usai makan malam, program diteruskan dangan dengan slot postmorterm (bedah siasat) dan refleksi. Kehadiran Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua dan beberapa orang senior  PPINS pada malam tersebut memeriahkan lagi suasana perbincangan pada malam itu.





Alhamdulillah, biarpun slot malam tersebut agak terlajak tempoh waktunya, tapi berjaya membuahkan beberapa idea baru yang akan dapat meningkatkan lagi cara gerak kerja kami dalam slot kaji selidik pada masa akan datang. Tepat jam 1.00 pagi, semua sukarelawan telah diberi rehat untuk bangun awal pada esoknya untuk qiamullail.

30 Oktober 2011 bersamaan 3 Zulhijjah 1432 (Ahad)

Para sukarelawan mula bersarapan pagi pada jam 8.30 pagi setelah menunaikan solat Subuh. Para sukarelawan seterusnya diberi masa sendiri untuk menyiapkan tugasan masing-masing. Sebagai contoh proses pengiraan hasil kaji selidik dan pembuatan video montaj program. Tepat jam 12.15 tengahari, slot konklusi dimulakan. Hasil kajian telah dihimpunkan dan beberapa kesimpulan telah dibuat mengenai keseluruhan program. Slot tersebut diteruskan dengan persembahan video montaj program yang telah siap disusun. Akhir sekali para sukarelawan menunaikan solat fardhu Zohor secara berjemaah dan tepat jam 1.40 petang, para sukarelawan bersurai  dengan membawa sejuta kenangan pahit dan manis selama 3 hari bersama.


      Di penghujungnya, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana mengizinkan kami menjalankan program dan memberi kekuatan kepada kami sehingga ke penghujung program. Sekalung penghargaan juga diberikan kepada penganjur program iaitu biro Tugas-tugas Khas PPINS Pusat yang diketuai oleh Mohd Syarafuddin bin Mhd Yusof dan Noramalina binti Abdul Talib. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang telah sudi memberikan sumbangan dana dalam menjayakan program ini. Begitu juga kepada semua sukarelawan atas titik peluh dan kerjasama yang disumbangkan, serta ahli-ahli PPINS yang sentiasa menyokong dan bekerjasama dalam merealisasikan program ini. Diharap semoga berkat pengorbanan kita dalam menjayakan program ini membolehkan kita membina mahligai di negeri abadi kelak. Nantikan hasil kaji selidik yang telah kami jalankan yang akan dikongsikan di blog ini. Nantikan juga Back To Basic Siri Ketiga nanti, in sha Allah.

Disediakan oleh

Mohd Syarafuddin bin Mhd Yusof
Ketua Biro Tugas-tugas Khas, PPINS Pusat.

Untuk gambar selebihnya, klik sini.