Latar Belakang


PENUBUHAN PPINS

Ditubuhkan pada tahun 1981 dengan nama Kesatuan Pelajar-pelajar Islam Negeri Sembilan (KEPINS). Cetusan idea penubuhan persatuan ini lahir daripada Ustaz Azhari, Tuan Haji Ismail Ahmad bersama beberapa orang sahabat mereka yang kini bergiat aktif dalam ABIM mahupun Kolej Dar Al Hikmah.

Selepas beberapa penubuhan dan pertukaran kepimpinan, KEPINS telah bertukar kepada Persatuan Pendidikan Islam Negeri Sembilan (PPINS) yang kemudiannya kepada Persatuan Pendidik Insan Negeri Sembilan (PPINS) dan kini kepada Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS) sepertimana yang telah sah berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Belia Malaysia (ROY) di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia pada 19 Januari 2011.

PPINS juga merupakan salah sebuah badan gabungan negeri yang membentuk Persatuan Pelajar Kebangsaan Islam Malaysia (PKPIM) di peringkat nasional yang juga merupakan pertubuhan pelajar yang kesinambungannya adalah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). 

Program-program yang pernah dianjurkan adalah seperti Kursus Motivasi Pelajar, Kursus Kepimpinan Pelajar, Khemah Ibadah, Perkampungan Menara Gading (PMG), Kursus Asas Fasilitator, Rehlah dan banyak lagi.

VISI


"Melahirkan generasi yang menjadikan Solatnya, Amalannya, Hidup dan Matinya hanya kerana Allah S.W.T"

MISI


"Menjadi gerakan pelajar Islam yang aktif dalam pembangunan sahsiah dan kecemerlangan ilmu berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah"

MOTTO


" Satukan Hati Kami "

OBJEKTIF

  • Menyatukan pelajar-pelajar Islam Negeri Sembilan untuk mencapai cita-cita Islamiah.
  • Memelihara kebajikan dan memupuk tali persaudaraan dalam kalangan pelajar-pelajar Islam Negeri Sembilan.
  • Meluaskan ilmu pengetahuan, menerapkan nilai-nilai Islam dan memberi peluang kepada pelajar-pelajar Islam mempelajari serta menghayati segala kebudayaan dan adat resam orang Islam tanpa mengira taraf ekonomi, kaum dan bangsa.
  • Berusaha dengan giat dan aktif melalui program-program untuk kemajuan agama, bangsa dan negara.


RASIONAL PENUBUHAN

Tercetus dari kesedaran dan semangat untuk bersama-sama dengan masyarakat dalam menerapkan nilai-nilai Islami yang syumul dalam segala aspek kehidupan. Bertitik tolak daripada kesedaran ini, PPINS melalui motonya 'Satukan Hati Kami' bertindak untuk menyatukan masyarakat bandar mahupun luar bandar untuk bersama dalam melakukan kerja-kerja Islam dan kebajikan melalui program-program yang dijalankan.

Selain berorientasikan kesukarelawan dan kerja-kerja kemasyarakatan, PPINS juga menjalankan aktiviti-aktiviti yang berbentuk intelektual dan kerohanian. Aktiviti-aktiviti seperti Diskusi Orang Muda (DORM), kelas-kelas dan kuliyyah agama serta seminar-seminar turut ditekankan bagi membina masyarakat khususnya belia untuk menjadi kelompok yang bertamadun dan mempunyai pemikiran kelas pertama.

PPINS juga tidak melupakan program-program dan aktiviti-aktiviti riadah, aktiviti-aktiviti seperti Kembara Khalifah, Kem Anak Warisan Negeri (KAWAN) turut diadakan bagi menyantuni kecenderungan belia yang sukakan aktiviti yang mencabar dan lasak.

Akhir sekali, gerakan yang bersifat kesukarelawan ini bukan sahaja membantu mengatasi krisis sosial tetapi juga menjadi wadah bagi pelajar Islam di semua peringkat untuk turun ke lapangan masyarakat membantu, berkhidmat dan menjalin ukhuwwah di samping mendidik diri dengan sifat kesukarelawan.