Sebelum ini kita telah mengupas tajuk sebab-sebab keciciran akibat dari sudut gerakan dan individu, maka pada hari ini kita akan kupas pula sebab-sebab keciciran akibat faktor luar.
Tekanan Ujian
Sememangnya jalan perjuangan ini pasti ada ujiannya. Oleh itu tidak boleh kita meletakkan niat untuk membebaskan diri kita daripada terkena ujian-ujian di sepanjang jalan ini kerana itu merupakan perkara yang mustahil. Oleh itu,hendaklah kita menukar cara berfikir dengan mempersiapkan diri untuk menghadapi segala ujian yang pasti akan kita jumpa dalam jalan ini.
Ujian di dalam jalan dakwah sangat penting bagi menguji keimanan agar menjadi lebih kuat pada masa akan datang. Hanya orang yang ikhlas dan sabar sahaja yang mampu bertahan lama di dalam perjuangan ini. Tetapkan niat untuk menyertai perjuangan ini kerana Allah bukan kerana habuan dunia mahupun pujian manusia. Selain itu, kita tidak boleh menyertai perjuangan akibat faktor orang lain kerana manusia itu akan pergi jua pada suatu hari nanti tetapi Allah tetap kekal dan selamanya kekal. Sabar yang dimaksudkan pula ialah dua perkara iaitu, sabar menghadapi ujian dan sabar mengharapkan keputusan. Mengharapkan keputusan juga merupakan salah satu ujian. Oleh itu, sebagai seorang pejuang tidak boleh kita mengharapkan sesuatu hasil itu datang dengan cepat, tetapi percayalah bahawa Allah akan mendatangkan hasil itu tepat pada waktunya.
Tekanan Keluarga
Ada keluarga yang menyekat anak-anak mereka daripada menyertai dakwah kerana mereka merasakan tidak ada manfaat dunia yang mereka boleh dapat sepertimana yang mereka mengharapkan anak-anak mereka supaya cemerlang dalam pelajaran agar suatu hari nanti mereka kan mencapai cita-cita mereka dan akan membantu semula keluarganya. Bagi ahli keluarga yang menyekat itu, jalan dakwah ini tidak mendatangkan hasil keuntungan dunia yang boleh mengeluarkan diri mereka daripada kesusahan dunia terutamanya kemiskinan.
Ada keluarga yang menyekat kewangan anak-anak mereka agar mereka ditekan untuk fokus terhadap pembelajarannya. Malah ada pula sebahagian ahli keluarga yang menawarkan kemasiatan kepada anak-anak mereka supaya tidak menyertai dakwah. Hal ini menyebabkan kegoncangan iman berlaku dalam kalangan anak-anak muda yang akhirnya menyebabkan mereka keciciran.
Tekanan Persekitaran
Ada sebahagian Muslim yang dibesarkan di persekitaran yang baik namun apabila ditempatkan di persekitaran yang kurang baik selepas itu, maka mereka berubah pula menjadi lebih buruk. Sememangnya kita tidak boleh selama-lamanya berada dalam persekitaran yang baik kerana ada ramai manusia yang memerlukan khidmat dakwah kita. Oleh itu, persiapan rapi harus dilakukan agar para pendakwah tidak terikut-ikut dengan perbuatan maksiat orang lain.
Tekanan Gerakan-Gerakan Bahaya
Hari ini ada gerakan-gerakan yang menggunakan nama Islam namun pada masa yang sama tidak membawa risalah kebenaran, tidak mengamalkan ajaran Islam dalam perjuangannya dan merosakkan masyarakat Muslim. Hal ini akan menyebabkan pemuda yang belum cukup matang dan yang belum cukup kuat imannya akan mudah menjadi golongan tercicir akibat tidak berupaya untuk berhadapan serangan-serangan dari gerakan-gerakan yang bertopengkan Islam.
Tekanan Bermuka-muka(Wajahah)
Ada sebahagian ahli gerakan atau pejuang suka mengangkat diri sendiri kerana mahu dirinya dilihat orang lain. Orang yang sebegini sebenarnya mengalami penyakit hati dan ini akan mengakibatkan dirinya tidak sedar akan kesilapan dirinya kerana sudah tenggelam dengan perhatian manusia. Oleh itu hendaklah kita meminta perlindungan daripada Allah agar tidak menjadi angkuh dalam perjuangan ini.
Muhammad Adam bin Roslan,
Amir PPINS kampus UIAM.
*Ini merupakan ringkasan usrah pada 18/11/2014(Selasa) di kampus UIAM Gombak. Penulisan dalam artikel ini tidak semestinya tepat dengan apa yang disampaikan dalam usrah.
No comments:
Post a Comment