Friday 13 January 2012

Perkongsian Usrah HELWA ABIM NS

Tarikh: 15 Disember 2011
Tempat: Taman Sakura (Rumah YDP ABIM NS)
Masa: 5.30 petang

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakaatuh..

Alhamdulillah, pada 15 Disember yang lepas saya telah berkesempatan untuk menghadiri Usrah HELWA (Hal Ehwal Wanita) ABIM NS bersama-sama sahabat-sahabat sepejabat Sekretariat ABIM NS. Sepanjang 7 bulan saya berkhidmat di sini saya telah dapat mengikuti beberapa siri Usrah HELWA, dan in sya ALLAH kali ini saya akan berkongsikan sedikit ilmu & dapatan dari usrah tersebut. Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf atas kelewatan perkongsian ini selama hampir sebulan. Tapi in sya ALLAH, hari ini saya akan kongsikan di sini.

Sebelum itu, ingin saya maklumkan bahawa di dalam Usrah HELWA ABIM NS, tajuk-tajuk yang dibincangkan ialah sudah pastinya ayat-ayat suci al-Quran, Hadith dan bedah buku. Bahan rujukan yang digunakan ialah Tafsir Al-Quran, Hadith 40 Imam Nawawi dan buku Fiqh Manhaji Imam as-Syafie Rahimahullah. Perbincangan Al-Quran dan Hadith adalah bergilir-gilir setiap minggu.

Hadith 18: Perkara Taqwa



Daripada Abu Zar Jundub ibn Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu'az ibn Jabal, r.a.,
daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda:
Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengankebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia denganbudi pekerti yang baik.
Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan. Dalam setengah manuskrip, ia adalah Hadis Hasan Sohih.

Isi-isi penting di dalam Hadith ini:

- Hendaklah bertaqwa kepada Allah di mana sahaja kita berada.
- Ikutilah kejahatan dengan kebaikan.
   Ini bermakna sesiapa sahaja yang melakukan sesuatu kejahatan, hendaklah dia melakukan kebaikan selepas kejahatan itu bagi menghapuskan kejahatan yang telah dilakukannya itu. Kebaikan-kebaikan itu termasuklah solat, berpuasa, bersedeqah dan sebagainya. Sepertimana firman Allah dalam Al-Quran:


"Dan laksanakanlah solat pada kedua hujung siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan malam. Perbuatan-perbuatan baik itu menghapus kesalahan-kesalahan. Itulah peringatan bagi orang-orang yang selalu mengingat (Allah)."


- Berperangailah (bergaul) dengan sesama manusia dengan perangai yang baik.
   (Sesiapa yang hubungannya baik dengan Allah, pasti hubungannya dengan manusia pun turut baik).

Kesimpulan:
1) Hak Allah: Taqwa kepada Allah.
2) Hak mukallaf: Hapuskan kejahatan (setiap kejahatan yang dilakukan hendaklah diikuti dengan amal kebaikan selagimana kejahatan itu termasuk dalam golongan dosa kecil).
3) Hak hamba: Memperelokkan pergaulan sesama anggota masyarakat.
4) Menjauhi segala dosa besar adalah syarat untuk menghapuskan segala dosa-dosa kecil. Dapat difahami di sini bahawa melakukan amal kebaikan ialah cara untuk menjauhi segala dosa besar tersebut.

FIQH MANHAJI : BAB BELAT DAN BARUT

Belat (jabirah جَبِيْرَةٌ) ialah pembalut tulang yang retak atau patah supaya tulang tersebut bertaup semula. Di dalam zaman sekarang belat boleh ditafsirkan sebagai simen yang digunakan untuk membalut keretakan tulang.

Barut ('isabah عِصَابَةٌ) ialah pembalut luka untuk mengelakkan kekotoran sehingga ia sembuh. Barut boleh ditafsirkan sebagai pembalut tangan (handyplus) yang biasanya dipakai untuk menutup luka-luka kecil.

Hukum menggunakan belat atau barut
Sekiranya diperlukan balutan tersebut, maka hendaklah mematuhi 3 perkara yang berikut apabila mengangkat hadath.
  • Basuh sekitar bahagian anggota yang cedera
  • Sapu semua bahagian belat dan barut dengan air (cukup sekadar menyapu tetapi bukanlah sehingga membasahkannya)
  • Apabila sampai kepada anggota yang cedera ketika berwudhu' hendaklah bertayammum sebagai ganti membasuh anggota yang cedera itu.
Penjelasan:

Jika anggota yang patah atau luka itu tidak memerlukan balutan, wajib dibasuh anggota yang tidak cedera dan bertayammum ketika sampai di bahagian yang cedera yang tidak boleh dibasuh.

Tayammum wajib diulang bagi setiap solat fardhu, sekalipun dia tidak berhadath (kerana satu tayammum hanya untuk sekali solat fardhu sahaja).

Tempoh Menyapu Belat dan Barut
Menyapu belat dan barut tidak ada tempoh tertentu selagi masih uzur. Apabila luka telah sembuh dan anggota yang patah telah baik, maka batallah sapuan dan wajiblah mandi.
Sekiranya dia masih berwudhu' sedangkan sapuannya telah batal, dia wajib menyapu anggota wudhu' yang wajib disapu dan membasuh anggota wudhu' yang wajib dibasuh.

Hukum belat adalah sama, sama ada bersuci daripada hadath kecil atau besar. Bezanya adalah bagi hadath besar apabila sapuannya batal, wajib membasuh bekas belatan atau barutan sahaja dan tidak wajib membasuh anggota badan yang lain.

Wajib mengqada' solat bagi pesakit yang memakai belat dalam keadaan berikut:
1- Memakai belat ketika berhadath dan tidak boleh menanggalkannya.
2- Memakai belat pada anggota tayammum.
3- Memakai belat melebihi kadar balutan anggota yang sepatutnya.

Usrah kali ini agak singkat masanya, namun isi perbincangan sangat menarik & bermanfaat. Semoga diberi peluang untuk bersama-sama dalam Usrah HELWA yang seterusnya dengan ahli yang lebih ramai. In sya ALLAH, bi iznihi Ta'ala..

"Usrah merantai ukhwah, menginspirasi dakwah"

Disediakan oleh,
NOR ATIQAH BT. ABD TALIB
Ketua Hal Ehwal Siswi (HEWI)
Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS).

2 comments:

amirah abdollah said...

terima kasi atas perkongsian yg bermanfaat

Anonymous said...

bagus2..gud job
ringkas dan padat