Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS) telah berjaya menghantar tiga orang wakil dari kalangan pimpinan pusat ke Program Pembangunan Pemimpin Muda Bitara 2011 yang dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 9 hingga 11 Disember 2011 di Institut Latihan Islam Malysia (ILIM) Wilayah Timur, Besut Terengganu. Program ini telah disertai oleh seramai 50 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar-pelajar institusi pengajian tempatan seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Kolej Universiti Shahputra, Kolej Islam Antrabangsa Sultan Ismail (KIAS) dan Universti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) serta beberapa orang ahli dari Skuad ELIT ABIM Besut.
Program ini merupakan usaha membangun suatu generasi anak muda berketrampilan dan mempunyai daya kepimpinan yang berkualiti serta berjiwa besar. Program pakej latihan pembangunan kepemimpinan ini telah membuka mata calon-calon kepemimpinan masa hadapan tentang matlamat menjadi seorang pemimpin serta memberi pendedahan tentang kepimpinan bersepadu dengan watak khas yang integral. Program Pembangunan Pemimpin Muda Bitara ini mengaplikasikan Model Pembangunan Kepemimpinan dengan empat Input Pembangunan Kepemimpinan (IPK) iaitu idealisme, spiritualisme, intellektualisme, dan aktivisme.
Pemimpin umpama kepala bagi sesebuah jasad, mereka juga merupakan simbol kesatuan dan kekuatan sesebuah organisasi. Mereka yang mampu menjadi pemimpin yang hebat merupakan individu yang mampu menunaikan tanggungjawabnya sebagai khalifah bersesuaian dengan garis panduan Al-Quran dan As-Sunnah. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Haj, ayat 41:
“Allah pasti akan menolong orang yang menolong agamaNya. Sungguh, Allah Maha Kuat, Maha Perkasa. Iaitu mereka (Umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.
Perjalanan bermula pada hari Khamis malam Jumaat pada jam 10 malam dari UIAM Gombak dan para peserta tiba di Terengganu Darul Iman pada waktu subuh. Setelah mengambil beberapa peserta dari Terengganu yang telah berkumpul di UNISZA, para peserta telah meneruskan perjalanan ke Besut yang mengambil masa kira-kira 2 jam. Aktiviti pada hari Jumaat bagi semua peserta bermula pada jam 2.30 petang dengan acara suai kenal dan pecahan kepada beberapa kumpulan. Seterusnya aktiviti pada hari pertama disambung pada jam 9 malam oleh Tn Hj Noryzal Zainal Abidin dengan slot bertajuk “Lau Kana Bainana” . Banyak ilmu dan pelajaran yang diperolehi pada malam tersebut.
Pada hari kedua, aktiviti bagi semua peserta bermula seawal jam 4.30 pagi yang diisi banyak acara seperti qiyamullail, solat Subuh dan kuliah Subuh. Setelah bersarapan pada jam 8.00 pagi, aktiviti hari kedua diteruskan lagi bagi memupuk ciri kepimpinan Islami dalam diri setiap peserta. Pelbagai aktiviti dilakukan yang rata-ratanya dilakukan dalam bentuk modul bukannya pembelajaran di dalam kelas. Antaranya ialah aktiviti lompat tali, spider web, code breaking, kereta api kertas dan pulau harapan. Tepat jam 3 petang semua peserta yang lengkap berpakaian kemas telah dibawa ke Jertih yang terletak kira-kira 3 kilometer dari Besut. Para peserta telah ditinggalkan disana tanpa mempunyai sebarang barang berharga serta tanpa kad pengenalan diri dan mereka diminta untuk kembali semula ke ILIM, Besut dalam masa kurang dari satu setengah jam. Disini banyak ragam dan kerenah telah dapat dilihat. Ada di antara peserta yang pergi dari gerai ke gerai untuk meminta belas ihsan dan ada juga yang mencari wang bagi digunakan untuk belanja pulang ke ILIM, Besut. Setelah selesai mengerjakan solat Asar dan minum petang para peserta telah berkumpul di dataran kawad bagi menjalani sesi riadah petang dan melakukan aktiviti war games. Meskipun pada ketika itu angin bertiup agak kencang, para peserta dan urusetia masih lagi berusaha menjayakan sesi riadah petang yang cukup bermakna bagi setiap yang ada disitu. Tepat jam 9.00 malam semua peserta telah digerakkan ke dalam kumpulan dan diminta untuk pergi ke Bukit Kuang dalam keadaan gelap gelita tanpa sebarang lampu suluh ataupun pelita. Perjalanan para peserta pada hari itu hanya disirami cahaya rembulan yang memancar indah di langit Darul Iman pada malam itu. Sejurus tiba di kaki gunung para peserta dilepaskan secara individu bagi mendaki bukit tersebut. Alhamdulillah semua peserta selamat tiba ke puncak bukit dan turun semula. Setelah semua peserta selamat turun semula dari Bukit Kuang, mereka semua telah dibawa berjalan menyelusuri jalan pantai untuk kembali ke ILIM, Besut.
Seterusnya pada hari ketiga hanya aktiviti pembentangan kerja dalam kumpulan dan majlis penutup sahaja dijalankan kerana tempoh waktu agak singkat serta ada dikalangan peserta perlu pulang awal. Sewaktu aktiviti pembentangan kerja kumpulan, rata-rata semua peserta begitu berkorbar-kobar dalam membentangkan kertas kerja serta mempunyai idea yang kreatif dan kreatis dalam membentangkan kerja mereka atau membahas kerja-kerja rakan dari kumpulan lain. Disamping itu semangat berkerjasama dan saling hormat menghormati yang menjadi antara aspek-aspek penting dalam melahirkan seorang pemimpin serta organisasi terancang telah dizahirkan sewaktu aktiviti pembentangan kerja kumpulan. Majlis penutup Program Pembangunan Pemimpin Muda Bitara 2011 telah disempurnakan oleh wakil dari ILIM selaku tuan rumah serta penganjur bersama bagi Program Pembangunan Pemimpin Muda Bitara 2011.
Sesungguhnya dalam melahirkan ciri-ciri kepimpinan dalam diri individu itu sendiri haruslah dimainkan peranan oleh semua pihak. Menjadi seorang pemimpin itu bukanlah hanya sekadar tahu mengarah tapi harusnya pemimpin itu mengerti atau sedar akan diri mereka itu dilantik bagi menjalankan amanah yang tinggi. Sebagai seorang pemimpin, mereka ini harus sedar bahawa setiap gerak geri mereka diperhatikan oleh masyarakat. Jesturu itu, hendaklah mereka ini sentiasa berperkerti mulia tanpa mengira waktu dan ketika serta haruslah diingati setiap amalan yang kita lakukan hanyalah semata-mata kerana ALLAH bukannya mengharapkan keredhaan manusia. Jadi, amatlah diharapkan agar para pemimpin yang sedia ada atau bakal memimpin untuk mengikhlaskan diri mereka dan amalan mereka semata-mata kerana ALLAH S.W.T.
Disediakan oleh:
Raihan B Md Idris
(Exco Kaderisasi & Perhubungan Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan)
`riadah petang`
`pulau harapan`
`lompat tali`
`riadah`
`pembahagian kumpulan`
`kereta api kertas`
`Bukit Kluang`
No comments:
Post a Comment