Wednesday, 9 November 2011

PPINS di KUALA PILAH dalam ‘BACK TO BASIC’ Siri 2

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t. 

Alhamdulillah, berkat limpah rahmat dan izin Nya Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS) kali ini sekali lagi telah berjaya merealisasikan satu lagi program yang berbentuk kaji selidik setelah Back To Basic Siri Pertama yang dijalankan di bandar Seremban pada 14-16 Januari 2011. Program tersebut yang mendapat sambutan memberangsangkan dari segi penyertaan dan hasil kajian yang sangat berguna telah membuatkan ianya diteruskan dalam siri yang ke-2 pada 28-30 Oktober 2011. Segala puji bagi Allah S.W.T kerana program ini juga dijayakan oleh mahasiswa dari beberapa buah universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknologi Mara(UiTM) yang turut serta sebagai sukarelawan. Di dalam program ini, satu kaji selidik telah dijalankan mengenai pengetahuan dan kefahaman masyarakat di sekitar daerah Kuala Pilah mengenai aspek-aspek asas Aqidah Islam iaitu Rukun Islam dan Rukun Iman. Saranan Islam bahawa perlunya berhikmah dalam berdakwah telah menyebabkan metod ini diterima pakai dan dipilih oleh kami. Seperti firman Allah S.W.T dalam surah (An-Nahl:125): 

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah[dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
 
Begitu juga dengan hadith Baginda Rasulullah S.A.W. :

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri RadhiyAllahu ‘anhu beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesiapa Dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Andai tiada kemampuan untuk berbuat demikian, maka hendaklah dia mengubah dengan lisannya. Dan jika dia tidak mampu untuk berbuat begitu, maka hendaklah (dikecam) dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. [Hadith riwayat Muslim]

Justeru, kaedah ini kami gunakan dalam usaha menangani masalah kefahaman umat Islam yang semakin meruncing kini dan secara tidak langsung berusaha memperbaiki kelemahan yang ada melalui hasil kaji selidik yang akan dihantar kepada pihak-pihak dan agensi berkaitan. Program seperti ini juga sebenarnya merupakan ‘Tamrin Marahil’ iaitu latihan lapangan bagi setiap ahli gerakan untuk melatih dan melahirkan ahli-ahli PPINS yang berani berdepan dengan masyarakat.

28 Oktober 2011 bersamaan 1 Zulhijjah 1432 Hijrah (Jumaat)
Program bermula jam 3.00 petang dengan persiapan seperti penyediaan kertas soalan kaji selidik dan tag para sukarelawan yang melibatkan beberapa orang sukarelawan. Pada jam 6.00 petang beberapa orang sukarelawan lagi telah hadir. Kemudian disusuli dengan solat jemaah fardhu Maghrib dan menyambung persiapan kertas soalan dan sebagainya sehingga masuk waktu Isya’. Usai solat fardhu Isya’ secara berjemaah, semua sukarelawan menikmati menu makan malam yang telah disediakan oleh AJK Makanan. Program ini seterusnya diisi dengan slot taklimat untuk slot kaji selidik pada hari esoknya dan sedikit perbincangan serta perkongsian mengenai Rukun Islam dan Rukun Iman untuk memastikan para sukarelawan bersedia secukupnya. Sebelum berehat, kami turut bersama-sama dalam menyediakan 200 pek cenderamata buat setiap responden kajian kami pada esok hari. Slot pada hari pertama tamat lebih kurang jam 12.30 malam.






29 Oktober 2011 bersamaan 2 Zulhijjah 1432 (Sabtu)
Tepat jam 5.30 pagi, kami mula bersiap untuk menunaikan Solat Subuh secara berjemaah. Selesai Solat Subuh, kami membaca al-Ma’athurat bersama-sama. Kemudian para sukarelawan diberi masa untuk mempersiapkan diri dan tepat jam 8.00 pagi semua sukarelawan telah berkumpul untuk bersarapan pagi bersama. Sebelum kami bertolak ke Kuala Pilah pada jam 9.30 pagi, waktu yang bersisa kami isikan dengan menyiapkan beberapa lagi persiapan yang masih belum selesai berikutan beberapa masalah teknikal seperti mesin fotostat yang sering tergendala berpunca dari  overheated.









Tepat jam 9.30 pagi kami mula berkumpul di perkarangan tempat letak kereta di bawah Pejabat Sekretariat PPINS, Wisma ABIM Ampangan, Seremban. Setelah berada dalam dua buah kenderaan yang telah ditetapkan, kami mula bertolak menuju ke destinasi tujuan iaitu satu kumpulan menuju ke terminal bas pekan Kuala Pilah dan manakala satu kumpulan lagi menuju ke Masjid Jamek Kuala Pilah.






Alhamdulillah lebih kurang jam 10.30 pagi, kedua-dua kumpulan telah sampai ke destinasi masing-masing. Slot kaji selidik kini bermula. Setiap kumpulan mula mengorak langkah bagi mencapai target jumlah responden seramai 200 orang secara keseluruhan. Responden yang ditemui dari berbilang usia. Namun begitu kami tetap meletakkan had umur untuk para responden iaitu dari 13-40 tahun.





Setelah bertungkus lumus berusaha bagi mencapai target responden yang telah ditetapkan, lebih kurang jam 5.30 petang, kedua-dua kumpulan akhirnya berkumpul semula di Hutan Lipur Ulu Bendul iaitu destinasi terakhir kami menjalankan kaji selidik ini dan mula bertolak pulang ke pejabat Sekretariat PPINS.




Alhamdulillah, tepat jam 6.00 petang kami telah sampai di pejabat Sekretariat PPINS. Disebabkan keletihan, para sukarelawan diberi masa sendiri sehingga  selesai solat fardhu Isyak iaitu jam 8.30 malam. Slot malam itu diteruskan dengan makan malam bersama-sama pada jam 9.00 malam. Usai makan malam, program diteruskan dangan dengan slot postmorterm (bedah siasat) dan refleksi. Kehadiran Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua dan beberapa orang senior  PPINS pada malam tersebut memeriahkan lagi suasana perbincangan pada malam itu.





Alhamdulillah, biarpun slot malam tersebut agak terlajak tempoh waktunya, tapi berjaya membuahkan beberapa idea baru yang akan dapat meningkatkan lagi cara gerak kerja kami dalam slot kaji selidik pada masa akan datang. Tepat jam 1.00 pagi, semua sukarelawan telah diberi rehat untuk bangun awal pada esoknya untuk qiamullail.

30 Oktober 2011 bersamaan 3 Zulhijjah 1432 (Ahad)

Para sukarelawan mula bersarapan pagi pada jam 8.30 pagi setelah menunaikan solat Subuh. Para sukarelawan seterusnya diberi masa sendiri untuk menyiapkan tugasan masing-masing. Sebagai contoh proses pengiraan hasil kaji selidik dan pembuatan video montaj program. Tepat jam 12.15 tengahari, slot konklusi dimulakan. Hasil kajian telah dihimpunkan dan beberapa kesimpulan telah dibuat mengenai keseluruhan program. Slot tersebut diteruskan dengan persembahan video montaj program yang telah siap disusun. Akhir sekali para sukarelawan menunaikan solat fardhu Zohor secara berjemaah dan tepat jam 1.40 petang, para sukarelawan bersurai  dengan membawa sejuta kenangan pahit dan manis selama 3 hari bersama.


      Di penghujungnya, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana mengizinkan kami menjalankan program dan memberi kekuatan kepada kami sehingga ke penghujung program. Sekalung penghargaan juga diberikan kepada penganjur program iaitu biro Tugas-tugas Khas PPINS Pusat yang diketuai oleh Mohd Syarafuddin bin Mhd Yusof dan Noramalina binti Abdul Talib. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang telah sudi memberikan sumbangan dana dalam menjayakan program ini. Begitu juga kepada semua sukarelawan atas titik peluh dan kerjasama yang disumbangkan, serta ahli-ahli PPINS yang sentiasa menyokong dan bekerjasama dalam merealisasikan program ini. Diharap semoga berkat pengorbanan kita dalam menjayakan program ini membolehkan kita membina mahligai di negeri abadi kelak. Nantikan hasil kaji selidik yang telah kami jalankan yang akan dikongsikan di blog ini. Nantikan juga Back To Basic Siri Ketiga nanti, in sha Allah.

Disediakan oleh

Mohd Syarafuddin bin Mhd Yusof
Ketua Biro Tugas-tugas Khas, PPINS Pusat.

Untuk gambar selebihnya, klik sini.


No comments: