Thursday, 27 October 2011

PPINS menawan Gunung Angsi dalam Kembara Khalifah (Siri Ke-2)

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Allah subhananahu wa ta’ala kerana dengan limpah dan kurnianya Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS) dapat menjalankan program Kembara Khalifah siri ke 2. Untuk makluman semua, program Kembara Khalifah siri yang pertama telah dijalankan dengan jayanya pada 16 Julai 2011 di Teluk Kemang, Port Dickson bertemakan aktiviti kayak dan konsep manusia sebagai khalifah Allah, dengan penyertaan seramai 30 orang. Program Kembara Khalifah siri kedua yang berlangsung pada 15 Oktober 2011 ini telah mendapat sambutan dikalangan anak muda dan mahasiswa dari beberapa IPTA seperti UiTM, UIAM dan USIM. Kembara Khalifah kali ini berkonsepkan kembara di bumi Allah, seperti yang dikehendaki Islam yang inginkan umat Islam menghayati dunia flora dan fauna bagi menghayati keindahan alam ciptaan Allah ini di samping mengabdikan diri kepadanya. Firman Allah Ta’ala:


Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Al-‘Ankabut:20)

Program bermula pada jam 8.30 pagi dimana semua peserta berkumpul di hadapan Pejabat Perhutanan Ulu Bendul. Setelah berkumpul, para peserta melakukan regangan badan dan diberikan sedikit taklimat daripada Pengarah Program dan juga Pegawai JPA 3 yang bertugas. Peserta seringkali diingatkan tentang keselamatan dan penjagaan diri ketika mendaki nanti. Setelah itu, pendakian bermula pada jam 8.45 pagi. Anggota JPA 3 seramai 3 orang mengetuai pendakian ini. Pendakian dimulakan sehingga tiba di checkpoint yang pertama. Kami berhenti berehat sambil menikmati sarapan pagi iaitu sandwich dan coklat yang telah dibekalkan oleh AJK program. Pendakian berhenti rehat selama 30 minit untuk mengumpul tenaga dan mendapat rehat secukupnya. Seterusnya, pendakian disambung sehinggalah ke kaki Gunung Angsi.







Sebelum menyambung pendakian, kami sekali lagi diingatkan oleh Pegawai JPA3 supaya berhati – hati. Sekiranya penat, kami digalakkan untuk berehat seketika. Bermulalah pendakian sebenar yang mengambil masa selama 4 jam. Pendakian diteruskan sehinggalah ke Gunung Botak. Puncak gunung ini terasa panasnya dek kerana ia hanya mempunyai sedikit pokok yang hidup. Untuk sampai ke puncak Gunung Angsi kami terpaksa menggunakan tali bagi mengharungi bukit – bukit yang tinggi. Ia sangat mencabar namun dengan izin Allah dan kerjasama yang tinggi, kesemua peserta dapat mengharunginya.



Seterusnya, pendakian diteruskan untuk menuju ke puncak Gunung Angsi. Setelah 1 jam mendaki, akhirnya kami akhirnya sampai ke puncak Gunung Angsi. Kami telah tiba pada jam 2.00 petang. Alhamdulillah, kesemua peserta telah berjaya sampai ke puncak itu walaupun ada dikalangan peserta yang sudah mengaku kalah pada awalnya. Dengan semangat dan iltizam yang kuat, mereka berjaya juga sampai. Selepas sampai di puncak. Kami berehat seketika untuk mengumpul tenaga disamping menjamah nasi goreng dan buah-buahan yang dibawa sepanjang pendakian. Kemudiannya para peserta menunaikan solat Zohor secara berjemaah. Oleh kerana di puncak gunung tidak terdapat air, kami bertayammum menggunakan debu tanah yang bersih. Alhamdulillah dengan kurniaan Islam yang memudahkan umatnya, maka kami telah bertayammum.






Usai solat Zohor, kami mengadakan usrah di puncak gunung yang dipimpin oleh saudara Mohd Tarmizi Bin Rafai, exco Dakwah dan Tarbiyyah PPINS Pusat. Usrah ini berkisarkan tentang kejadian Allah dan kebesarannya serta ciptaan alam flora dan fauna. Pengisian  ini telah membuatkan hati kami terdiam seketika melihat betapa Agungnya ciptaanNya. Maha Suci Allah, kita dapat merasai kehebatanNya dengan hanya melihat alam yang dicipta seluasnya ini.








 Jam menunjukkan 3.30 petang, kami dinasihati oleh Pegawai JPA3 supaya segera turun sebelum langit menjadi gelap. Tanpa melengahkan masa, kami bersiap untuk turun. Semasa turun ke kaki Gunung, hujan renyai-renyai telah mula turun, namun ia tidak  membuatkan kami patah semangat untuk terus menuju ke destinasi. Setelah hampir 2 jam 30 minit rata-rata di antara kami sudah tidak mampu untuk berjalan, jadi Pegawai JPA 3 membawa kami melalui jalan pintas untuk sampai ke kaki Gunung Angsi di jalan Bukit Putus. Tambahan pula kami perlu menjimatkan masa kerana ada di antara kami yang perlu pulang ke kampus semula. Walaupun keletihan, kegembiraan terpancar di wajah kami kerana kami sudah berjaya menawan Gunung Angsi yang berketinggian setinggi 825 meter. Syukur sekali lagi kepadaNya kerana telah memberi keselamatan dan kemudahan kepada kami sepanjang perjalanan pergi dan balik. Kami berehat seketika menikmati udara yang segar disamping melihat kawanan burung yang berterbangan di awanan, sementara menunggu AJK Program yang lain datang mengambil kami untuk pulang ke Ulu Bendul.





Akhir sekali, sekalung penghargaan buat penganjur program iaitu Biro Rekreasi & Sukan PPINS yang diketuai oleh Abdullah Fazrin b. Zamani dan dibantu oleh Wan Ahmad Shahmi b. Wan Zainal. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada  Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di atas sumbangan kewangan untuk menjalankan program ini. Tidak dilupakan juga kepada ahli – ahli PPINS dan para peserta yang telah sama-sama menjayakan program ini. Semoga ada manfaatnya untuk kebaikan kita semua. Nantikan Kembara Khalifah untuk siri yang ke-3 nanti, in sya Allah.

Lagi gambar-gambar program, klik di sini.

Abdullah Fazrin b. Zamani
Ketua Biro Rekreasi & Sukan, PPINS Pusat.

3 comments:

Amine Alkoxide said...

memang terbaik..siapa yang buat ni??

Ashida Md Anuar said...

kak tiqah yang buat..

Atiqah Talib said...

bukanla, aby yg buat. akk edit2 je maa.. =)