Thursday, 25 October 2012

Perutusan Hari Raya Aidiladha


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Allahuakbar…Allahuakbar…Allahuakbar walillahilhamd.

Puji dan Syukur ke hadrat ilahi di atas limpah kurniaNya kita dapat berpeluang untuk hidup hingga kini dengan nikmat Islam dan Iman, selawat dan salam ke atas rasul junjungan, kekasih Allah, buah hati kita baginda Muhammad S.A.W. kerana usahanya dan pengorbanannya, Islam tersebar ke seluruh dunia dan dapat dinikmati oleh kita pada harini.

Segala puji bagi Allah, yang telah menyampaikan kita, memanjangkan umur kita sehingga kita dapat bertemu semula dengan salah satu daripada dua hari keraian bagi ummat Islam yakni Hari Raya Aidiladha.  Pada harini, seluruh ummat Islam baik yang sedang mengerjakan ibadah haji di Baitul Haram Mekah dan juga ummat Islam lain yang berada di penjuru bumi lain sama-sama akan menyambut Hari Raya Aidiladha dan sama-sama saling bantu membantu dalam melakukan ibadah korban. Harini mengingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan keluarganya dalam menjalankan perintah-perintah Allah kepada mereka.

Bermula dari isterinya, Siti Hajar bersama anaknya, Nabi Ismail yang terpaksa ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir bagi melaksanakan perintah Allah kepadanya. Walaupun berat hati bagi baginda untuk meninggalkan isterinya dan anaknya yang pertama, baginda tetap teguh melaksanakan perintah Allah. Begitu juga dengan isterinya Siti Hajar yang pada mulanya tertanya-tanya tentang tindakan baginda meninggalkan beliau bersama Nabi Ismail yang ketika itu hanya seorang bayi. Dengan kerelaan hati dan kebulatan tawakkal kepada Allah, Siti Hajar merelakan diri untuk tetap tinggal bersendirian bersama anaknya, Nabi Ismail di tengah-tengah padang pasir gersang kerana yakin Allah tidak akan sia-siakan hambaNya yang beriman.

Setelah bertahun-tahun masa berlalu, kawasan dulunya padang gersang kini menjadi kawasan yang menjadi tumpuan para pedagang yang tertarik dengan kawasan yang dirahmati oleh Allah melalui pancuran air zam-zam hasil hentakan kaki Nabi Ismail A.S kita Siti Hajar mencari air menghilangkan dahaga yang berpanjangan. Kini Nabi Ismail telah menginjak umur dewasa, Nabi Ibrahim datang bertemu isteri dan anaknya yang lama ditinggalkannya. Datang pula perintah ilahi, menyuruh Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail untuk mematuhi ilahi. Sungguh berat hati seorang bapa untuk mengorbankan anak tercinta, tetapi Nabi Ismail tersenyum rela merelakan dirinya dikorban demi perintah Tuhan yang Esa.

Setelah keduanya bersiap sedia,
melaksanakan perintah yang Maha Esa,
berita gembira disampaikan kepada baginda,
bahawasanya kibas dijadikan gantian anaknya.

Persoalannya bagi kita, setakat mana kita mengetahui, memahami dan berusaha mencontohi baginda Nabi Ibrahim yang sanggup bekorban demi menunaikan perintah ilahi. Begitu juga Siti Hajar, sang isteri dan Nabi Ismail anaknya yang dikasihi, sanggup juga bekorban berkali-kali.

Begitulah namanya seorang hamba,
sanggup memberi apa yang ada,
kerana hakikat segala harta,
semuanya memang Allah yang punya.

Ayuhlah kita menghisab diri, setakat mana kita berkorban dan menurut perintah ilahi. Bagaimanakah peristiwa korban Nabi Ibrahim dengan keluarganya dapat kita contohi di dalam kehidupan kita bagi menambah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah. Semoga setiap Hari Raya Aidiladha yang mendatang menjadi satu titik muhasabah bagi kita untuk menilai diri setakat mana kita telah bekorban untuk menegakkan kalimah ilahi.

Selamat Hari Raya Aidiladha, Semoga harini menjadi satu titik muhasabah untuk memajukan diri dalam berbakti menegakkan kalimah ilahi. Sekian.

Yang di Pertua Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS)
Fakruradzi Abdullah

No comments: