Ini merupakan kali pertama penulis menyertai program outreach bersama orang asli. Penulis tidak mahu melepaskan peluang itu untuk mendapatkan gambaran sebenar kehidupan orang asli dan beberapa maklumat-maklumat penting yang penulis perlu dapatkan seperti tahap pendidikan, kebajikan dan lain-lain.
Pada hari pertama iaitu 12 Januari, penulis dan rakan-rakan lain bertolak ke Kelantan pada waktu malam dan sampai di Gua Musang dengan menaiki bas yang disediakan. Setelah sampai di Gua Musang pada keesokan harinya iaitu 13 Januari, kami menempuh perjalanan di atas tanah merah untuk memasuki kampung pos Tohoi dengan menaiki kereta pacuan empat roda. Penulis memang mengakui perjalanan tersebut sangat memerlukan kesabaran kerana menunggu waktu yang lama dengan jalan yang tidak rata untuk sampai di Kampung Pos Tohoi.
Membuat persiapan untuk bertolak ke Kelantan |
Antara peserta wanita yang turut hadir |
Menaiki kereta pacuan empat roda ke Kampung Pos Tohoi |
Alhamdulillah akhirnya kami sampai di Kampung Pos Tohoi, kami disambut oleh kemeriahan kanak-kanak yang menjalani waktu persekolahan mereka. Pada hari tersebut, sebahagian daripada kami sibuk dengan persiapan untuk menyediakan tempat penginapan, makanan dan kerja-kerja lain. Pada hari tersebut, kami mengadakan majlis pembukaan pada waktu petang, sesi tazkirah pada waktu selepas Maghrib, dan tayangan filem pada waktu malam.
Penulis diletakkan di bawah biro Disiplin dan 'Ibadah yang diketuai oleh sahabat penulis iaitu saudara Syauqi. Penulis mempunyai satu tanggungjawab untuk menyampaikan sebuah ceramah pada keesokan harinya iaitu mengenai Rasulullah sempena Maulidur Rasul. Penulis mengakui tanggungjawab ini sangat berat untuk sampaikan ceramah tersebut akibat kurang pengalaman.
Pada 14 Januari iaitu Selasa, kami mulakan aktiviti kami dengan senamrobik pada waktu pagi, seterusnya mengadakan gotong-royong di surau dan sesi 'grooming' bersama kanak-kanak orang asli. Mereka diajar untuk berhias diri seperti sikat rambut dengan menggunakan minyak dan menyapu bedak pada muka. Pada waktu sebelah petang, sesi ceramah Maulidur Rasul diadakan dan perarakan Maulidur Rasul juga diadakan selepas itu.
Pada hari berikutnya 15 Januari, kami melakukan ziarah ke rumah keluarga angkat. Alhamdulillah penulis mendapat dua buah keluarga angkat yang melayan penulis dan rakan-rakan dengan begitu baik. Pada waktu petang, kami sekali lagi berkunjung ke rumah-rumah penduduk kampung ini untuk menyampaikan bantuan beras kepada mereka. Selepas itu, kami mengadakan sukaneka bersama para penduduk. Acara-acara seperti tarik tali, bola sepak dan permainan modul menyerikan waktu petang itu.
Keluarga angkat pertama kami |
Keluarga angkat kedua |
Bersiap untuk permainan modul |
Acara tarik tali |
Bola sepak |
Program ini diteruskan pada 16 Januari. Pada hari itu, kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Ada kumpulan akan mengendalikan program Mentoring bersama murid-murid di sekolah rendah manakala ada pula yang akan mengikut penduduk di situ untuk menerokai lebih mendalam tentang kawasan orang asli itu. Aktiviti itu dinamakan 'World Exploration'. Ada juga yang mengendalikan pemeriksaan kesihatan pada hari yang sama. Sebahagian pula bersiap siaga untuk menyediakan makanan untuk kenduri yang telah diadakan pada malam itu.
Mentoring |
Pemeriksaan Kesihatan |
Persiapan untuk Kenduri |
Hari program sudah semakin sampai ke penghujungnya. Pada 17 Januari, sebahagian daripada kami membantu untuk membina tanda peringatan program di surau. Sebahagian pula menyiapkan tanda "Pos Tohoi'. Selain itu, pada waktu petang, para penduduk kampung menyertai 'Explorace' dan kanak-kanak pula berada di dewan berprogram di sana. Pada waktu malam pula ada malam kebudayaan. Para peserta lelaki UIAM dan para perserta dari UMK masing-masing membuat persembahan dikir barat dan lakonan pada malam itu.
Alhamdulillah pada 18 Januari, juga merupakan hari terakhir kami di sini. Kami mulakan dengan ziarah ke rumah keluarga angkat buat kali yang terakhir sebelum majlis penutup pada pagi itu juga.
Sebagai penutup, penulis rasa bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah untuk bersama dalam program ini. Penulis mewakili pihak PPINS ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kelab JASA UIAM Gombak atas kesudian menjemput kami. Semoga usaha ini diredhai Allah.
Para peserta PPINS Dari kiri: Adilah, Afifah, Mariam, Iqlina, Adam |
Muhammad Adam bin Roslan
Exco Ekonomi dan Dokumentasi
Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan
19 Januari 2013