Wednesday 9 November 2011

PERUTUSAN PKPIM SEMPENA AIDILADHA 1432H

Bismillahirrahmanirrahaim..

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang
“Sesiapa yang mengejar ketinggian tanpa berpenat lelah maka dia telah mensia-siakan kerjanya dalam menuntut sesuatu yang mustahil.” –Syair Arab
Alhamdulillah, segala puji dan syukur sama-sama kita rafakkan ke hadrat Allah Subhanahu wataala, kerana dengan limpah kurnianya dapat sama-sama kita mengecap dua nikmat yang cukup besar iaitu nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam juga ke atas Rasul tercinta dengan pengorbanannya dapat sama-sama kita meneruskan perjalanan yang singkat di bumi Allah ini dengan dua nikmat tersebut.
Hari berganti hari, minggu berganti minggu dan bulan terus pantas bersilih ganti. Kehendak dan keperluan manusia masa kini mengasak pemikiran setiap manusia perlunya pengorbanan yang besar dalam mendepani pelbagai ceritera kehidupan.
Allah berfirman, “Dan di antara mereka ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya.”  (Al-Baqarah: 207)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sekali lagi menyeru seluruh umat Islam amnya dan para pelajar khasnya untuk sama-sama menghayati dan mengaplikasikan budaya berkorban yang mana cukup luas tafsirannya.
Ayuh teman-teman, kita teladani kisah Nabi Allah Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail AS dalam mentaati dan berkorban demi memperoleh redha Allah. Mari kita lihat manifestasi kecintaan kedua-duanya kepada Rabb mereka.
Nabi Ibrahim diujii pengorbanannya dalam menghadapi dilema antara menunaikan perintah Allah untuk menyembelih anak yang dicintai dan tanggungjawabnya sebagai hamba-Nya, sebagaimana yang diceritakan kembali oleh Allah SWT melalui firmanNya:
“Nabi Ibrahim berkata, wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu: maka fikirkanlah apa pendapatmu?” [As-Soffat :102]
Nabi Ismail yang mendokong perintah Allah melebihi segala-galanya dengan tenang menjawab:
“Jalankanlah apa yang diperintahkan Allah kepadamu, InsyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” [As-Soffat:102]
Jawapan yang sukar digambarkan dari seorang anak yang soleh jelas menunjukkan tiada apa yang ingin dikejar dalam kehidupan di dunia ini melainkan keredhaan Allah. Bagaimana pula kita yang hanya diuji dengan ujian yang tidak seberapa tetapi sering tersungkur apabila ditagih sebuah pengorbanan yang besar. Semoga Allah melindungi kita semua.
Merenung kepada sirah yang dirakamkan oleh Allah dalam kitabNya itu, marilah sama-sama kita bermuhasabah untuk bukan sahaja melihat saudara mara atau sahabat handai yang berpeluang menjadi tetamu Allah ke Tanah Suci, bahkan kita juga mampu merebut peluang dan kesempatan yang masih berbaki ini untuk berkorban masa dan tenaga dalam apa jua cara untuk agama Allah.
Perkataan atau ayat yang sangat mudah, tetapi memerlukan keyakinan yang sangat tinggi untuk merealisasikan segalanya. Sejarah telah membuktikan bahawa segalanya akan terbalas dengan ganjaran yang lebih hanya dengan berkorban di jalanNya.
Akhir kalam dari saya, semoga kita semua mengambil nilai-nilai sejarah pengorbanan para anbiya’ untuk diteladani dan dihayati dalam kehidupan ini sebagai satu panduan untuk menggapai redha Illahi.
Saya dan seluruh pimpinan PKPIM Pusat sesi 2011/2012 mengucapkan selamat menyambut AidilAdha pada tahun ini dan semoga kita semua terus istiqamah dalam meneruskan penyebaran risalah agungNya. Hidup dan mati hanya untukNya.
“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan gandaan yang banyak.” (Al-Baqarah:245)
“Hidup Mulia Atau Mati Sebagai Syuhadak”
MOHD SHAZNI ABDULLAH
SETIAUSAHA AGUNG
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

PPINS di KUALA PILAH dalam ‘BACK TO BASIC’ Siri 2

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t. 

Alhamdulillah, berkat limpah rahmat dan izin Nya Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS) kali ini sekali lagi telah berjaya merealisasikan satu lagi program yang berbentuk kaji selidik setelah Back To Basic Siri Pertama yang dijalankan di bandar Seremban pada 14-16 Januari 2011. Program tersebut yang mendapat sambutan memberangsangkan dari segi penyertaan dan hasil kajian yang sangat berguna telah membuatkan ianya diteruskan dalam siri yang ke-2 pada 28-30 Oktober 2011. Segala puji bagi Allah S.W.T kerana program ini juga dijayakan oleh mahasiswa dari beberapa buah universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknologi Mara(UiTM) yang turut serta sebagai sukarelawan. Di dalam program ini, satu kaji selidik telah dijalankan mengenai pengetahuan dan kefahaman masyarakat di sekitar daerah Kuala Pilah mengenai aspek-aspek asas Aqidah Islam iaitu Rukun Islam dan Rukun Iman. Saranan Islam bahawa perlunya berhikmah dalam berdakwah telah menyebabkan metod ini diterima pakai dan dipilih oleh kami. Seperti firman Allah S.W.T dalam surah (An-Nahl:125): 

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah[dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
 
Begitu juga dengan hadith Baginda Rasulullah S.A.W. :

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri RadhiyAllahu ‘anhu beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesiapa Dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Andai tiada kemampuan untuk berbuat demikian, maka hendaklah dia mengubah dengan lisannya. Dan jika dia tidak mampu untuk berbuat begitu, maka hendaklah (dikecam) dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. [Hadith riwayat Muslim]

Justeru, kaedah ini kami gunakan dalam usaha menangani masalah kefahaman umat Islam yang semakin meruncing kini dan secara tidak langsung berusaha memperbaiki kelemahan yang ada melalui hasil kaji selidik yang akan dihantar kepada pihak-pihak dan agensi berkaitan. Program seperti ini juga sebenarnya merupakan ‘Tamrin Marahil’ iaitu latihan lapangan bagi setiap ahli gerakan untuk melatih dan melahirkan ahli-ahli PPINS yang berani berdepan dengan masyarakat.

28 Oktober 2011 bersamaan 1 Zulhijjah 1432 Hijrah (Jumaat)
Program bermula jam 3.00 petang dengan persiapan seperti penyediaan kertas soalan kaji selidik dan tag para sukarelawan yang melibatkan beberapa orang sukarelawan. Pada jam 6.00 petang beberapa orang sukarelawan lagi telah hadir. Kemudian disusuli dengan solat jemaah fardhu Maghrib dan menyambung persiapan kertas soalan dan sebagainya sehingga masuk waktu Isya’. Usai solat fardhu Isya’ secara berjemaah, semua sukarelawan menikmati menu makan malam yang telah disediakan oleh AJK Makanan. Program ini seterusnya diisi dengan slot taklimat untuk slot kaji selidik pada hari esoknya dan sedikit perbincangan serta perkongsian mengenai Rukun Islam dan Rukun Iman untuk memastikan para sukarelawan bersedia secukupnya. Sebelum berehat, kami turut bersama-sama dalam menyediakan 200 pek cenderamata buat setiap responden kajian kami pada esok hari. Slot pada hari pertama tamat lebih kurang jam 12.30 malam.






29 Oktober 2011 bersamaan 2 Zulhijjah 1432 (Sabtu)
Tepat jam 5.30 pagi, kami mula bersiap untuk menunaikan Solat Subuh secara berjemaah. Selesai Solat Subuh, kami membaca al-Ma’athurat bersama-sama. Kemudian para sukarelawan diberi masa untuk mempersiapkan diri dan tepat jam 8.00 pagi semua sukarelawan telah berkumpul untuk bersarapan pagi bersama. Sebelum kami bertolak ke Kuala Pilah pada jam 9.30 pagi, waktu yang bersisa kami isikan dengan menyiapkan beberapa lagi persiapan yang masih belum selesai berikutan beberapa masalah teknikal seperti mesin fotostat yang sering tergendala berpunca dari  overheated.









Tepat jam 9.30 pagi kami mula berkumpul di perkarangan tempat letak kereta di bawah Pejabat Sekretariat PPINS, Wisma ABIM Ampangan, Seremban. Setelah berada dalam dua buah kenderaan yang telah ditetapkan, kami mula bertolak menuju ke destinasi tujuan iaitu satu kumpulan menuju ke terminal bas pekan Kuala Pilah dan manakala satu kumpulan lagi menuju ke Masjid Jamek Kuala Pilah.






Alhamdulillah lebih kurang jam 10.30 pagi, kedua-dua kumpulan telah sampai ke destinasi masing-masing. Slot kaji selidik kini bermula. Setiap kumpulan mula mengorak langkah bagi mencapai target jumlah responden seramai 200 orang secara keseluruhan. Responden yang ditemui dari berbilang usia. Namun begitu kami tetap meletakkan had umur untuk para responden iaitu dari 13-40 tahun.





Setelah bertungkus lumus berusaha bagi mencapai target responden yang telah ditetapkan, lebih kurang jam 5.30 petang, kedua-dua kumpulan akhirnya berkumpul semula di Hutan Lipur Ulu Bendul iaitu destinasi terakhir kami menjalankan kaji selidik ini dan mula bertolak pulang ke pejabat Sekretariat PPINS.




Alhamdulillah, tepat jam 6.00 petang kami telah sampai di pejabat Sekretariat PPINS. Disebabkan keletihan, para sukarelawan diberi masa sendiri sehingga  selesai solat fardhu Isyak iaitu jam 8.30 malam. Slot malam itu diteruskan dengan makan malam bersama-sama pada jam 9.00 malam. Usai makan malam, program diteruskan dangan dengan slot postmorterm (bedah siasat) dan refleksi. Kehadiran Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua dan beberapa orang senior  PPINS pada malam tersebut memeriahkan lagi suasana perbincangan pada malam itu.





Alhamdulillah, biarpun slot malam tersebut agak terlajak tempoh waktunya, tapi berjaya membuahkan beberapa idea baru yang akan dapat meningkatkan lagi cara gerak kerja kami dalam slot kaji selidik pada masa akan datang. Tepat jam 1.00 pagi, semua sukarelawan telah diberi rehat untuk bangun awal pada esoknya untuk qiamullail.

30 Oktober 2011 bersamaan 3 Zulhijjah 1432 (Ahad)

Para sukarelawan mula bersarapan pagi pada jam 8.30 pagi setelah menunaikan solat Subuh. Para sukarelawan seterusnya diberi masa sendiri untuk menyiapkan tugasan masing-masing. Sebagai contoh proses pengiraan hasil kaji selidik dan pembuatan video montaj program. Tepat jam 12.15 tengahari, slot konklusi dimulakan. Hasil kajian telah dihimpunkan dan beberapa kesimpulan telah dibuat mengenai keseluruhan program. Slot tersebut diteruskan dengan persembahan video montaj program yang telah siap disusun. Akhir sekali para sukarelawan menunaikan solat fardhu Zohor secara berjemaah dan tepat jam 1.40 petang, para sukarelawan bersurai  dengan membawa sejuta kenangan pahit dan manis selama 3 hari bersama.


      Di penghujungnya, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana mengizinkan kami menjalankan program dan memberi kekuatan kepada kami sehingga ke penghujung program. Sekalung penghargaan juga diberikan kepada penganjur program iaitu biro Tugas-tugas Khas PPINS Pusat yang diketuai oleh Mohd Syarafuddin bin Mhd Yusof dan Noramalina binti Abdul Talib. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang telah sudi memberikan sumbangan dana dalam menjayakan program ini. Begitu juga kepada semua sukarelawan atas titik peluh dan kerjasama yang disumbangkan, serta ahli-ahli PPINS yang sentiasa menyokong dan bekerjasama dalam merealisasikan program ini. Diharap semoga berkat pengorbanan kita dalam menjayakan program ini membolehkan kita membina mahligai di negeri abadi kelak. Nantikan hasil kaji selidik yang telah kami jalankan yang akan dikongsikan di blog ini. Nantikan juga Back To Basic Siri Ketiga nanti, in sha Allah.

Disediakan oleh

Mohd Syarafuddin bin Mhd Yusof
Ketua Biro Tugas-tugas Khas, PPINS Pusat.

Untuk gambar selebihnya, klik sini.


Thursday 3 November 2011

Perkongsian Usrah Gabungan Perdana ABIM-WADAHNS-PPINS

Tarikh: 26 Oktober 2011 (Rabu)
Tempat: Surau Ibn Khaldun, Tmn Lavender Height

Alhamdulillah, buat kesekian kalinya Usrah Gabungan Perdana Berjaya diadakan. Idea untuk melaksanakan program ini tercetus dari ahli-ahli WADAH (Wadah Pencerdasan Umat) Negeri Sembilan sendiri. PPINS hadir dengan semangat ingin mengambil mutiara-mutiara berharga bersama-sama dengan semua senior seperjuangan yang disegani.

Usrah Gabungan Perdana kali ini memilih tajuk Mendepani Cabaran Semasa Ummah, untuk sama-sama diterapkan dalam diri semua ahli tentang isu semasa yang melingkari umat Islam yang sepatutnya disedari sebagai pendakwah. 

Sesi pertama dimulakan dengan perkongsian dari Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) iaitu Cikgu Azmi Hamid. Sejak kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah, umat Islam semakin ditekan dengan pelbagai isu sejagat yang menuntut kebangkitan umat Islam secara universal. Cikgu Azmi telah menjelaskan beberapa persekitaran politik yang menghambat umat Islam menjadi umat ‘underdog’ dalam persaingan pasca globanisasi kini. Pertama, umat Islam menerima asakan ekonomi yang berterusan. Sebut sahaja kuasa seperti UN (United Nation), NAM (Negara-negara Berkecuali), IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) waima PBB sekalipun mempunyai tangan-tangan Barat yang menguasai perkembangan dunia. Misalnya Nestle yang merupakan syarikat gergasi Israel menguasai 78% makanan harian umat Islam di Malaysia. Sungguh mengujakan apabila hampir keseluruhan urusan ekonomi di Malaysia berkiblatkan barat yang sekaligus mengesampingkan acuan suci islam. Sebut sahaja urusan perbankan, insurans mahupun pinjaman PTPTN mempunyai elemen riba, hal yang lebih mengujakan apabila Israel mengharamkan riba dalam negaranya, namun mewajibkan riba kepada negara-negara lain di dunia.

Selain itu, umat Islam diserang kuasa militari anjing Barat yang menguasai negara-negara Islam melalui NATO yang kononnya ingin membebaskan umat Islam dari kuasa kuku besi kerajaan. Sebut sahaja Iraq, Afgahanistan, Bosnia dan yang terbaru Libya menjadi alat kepada Barat untuk melaga-lagakan umat Islam. Malaysia tidak terkecuali dari hal ini. Sebagai contoh pernah berlaku pameran persenjataan dunia di Kuala Lumpur yang negara Iran telah dikeluarkan dari pameran tersebut apabila Pentagon di Washington mengetahui hal tersebut. Kaedah mesra Barat dalam semua perkara menyebabkan Malaysia menjadi Negara anak tiri Barat. Penguasaan melalui budaya turut diketengahkan oleh cikgu Azmi. Fenomena ini dinamakan culture subversation yang telah mencorakan umat Islam melalui lambakan program realiti televisyen yang tidak terhitung bilangannya. Persoalannya siapakah yang meluluskan semua ini? Dalam pada itu, umat Islam turut dikuasai melalui eksploitasi sumber alam, misalnya Saudi menyimpan asetnya sebanyak 10 trilion di AS, mengapakah wang sebesar itu tidak dilabur untuk pembangunan umat Islam yang kebuluran di Somalia? Siapakah yang menberi kebenaran kepada Barat untuk menyerang umat Islam melalui bekalan minyak? Cuba kita jawab persoalan ini. Siapakah yang membina tanda-tanda hari kiamat (menara jam) bersebelahan Kaabah di Masjidil Haram, yang merupakan kiblat umat Islam?

Selain itu, umat Islam di Indonesia menyerahkan lombong emas terbesar di dunia kepada AS untuk diuruskan. Umat Islam juga dijajah melalui persempadanan peta dunia. Bangsa Israel yang awalnya tidak mempunyai negara akhirnya membina 832 KM tembok sempadan di Gaza yang mempunyai stuktur binaan yang bengkang-bengkok, apabila faktor binaan sedemikian, ternyatalah kawasan yang mempunyai air bawah tanah disempadan kepada Israel, namun kawasan yang tandus diberikan negara Palestin. Hal penjajahan kuasa Barat turut terserlah melalui kuasa perundangan di Malaysia. Selama lebih 446 tahun dijajah oleh kuasa asing, ternyata west ministry style berjaya dilaksanakan di Malaysia. Sistem Syariah Islam hanyalah tertumpu kepada hal pernikahan, perceraian dan sedikit sistem muamalat Islam. Pelaksanaan hukuman Islam hanyalah keadah 3, 5 dan 6, iaitu 3 tahun penjara, RM 5000 denda, dan 6 kali sebatan. Jelaslah al-Quran dan as-sSunnah berada di bawah kongkongan perlembangaan Malaysia yang diasaskan oleh Suruhanjaya Reid tanpa dianggotai seorang pun ulama Islam.

Selain itu, cikgu Azmi turut membentangkan penguasaan Barat melalui 47 jenis majalah hiburan yang menjadi santapan minda anak-anak belia Islam. Akhirnya wujudlah identiti jahil agama yang sangat diharapkan oleh Barat. Fakta yang lebih mengejutkan adalah 67 perjanjian yang ditandatangani oleh Malaysia telah menjadi pemangkin kepada penguasaan Barat. Perjanjian perdagangan tanpa sempadan (FTA) yang dipandang sebagai penggerak ekonomi pada hakikatnya telah membuka peluang kepada Barat untuk menguasai segmen pelaburan hartanah, perkilangan dan perumahan kepada Barat. Lihatlah betapa liciknya perancangan mereka. Natijahya umat islam tidak memiliki entiti perniagaan yang mampan untuk membela nasib umat Islam. Tipu daya mereka ini telah lama disebut Allah dalam Al-Quran :

"Dan, tidak sekali-kali ridha atas engkau (Muhammad (s.a.w) orang-orang Yahudi dan juga tidak (akan ridha) Nasrani sehingga engkau mengikuti ugama mereka; katakanlah kpd mereka sesungguhnya hidayah Allah (a.w) itu adalah hidayah (yag haq); dan jikalah engkau mengikuti kehendak mereka setelah datang kpd engkau dari ilmu (yg haq mengenai Islam); tiadalah bagi engkau dari Allah (a.w) mengasihiNya dan tidak juga mendapat pertolongan." (Al-Baqarah:120)

Secara keseluruhannya terdapat 15 jenis penguasaan kuasa Barat ke atas umat Islam, iaitu:

1) Asakan globalisasi ke atas umat Islam melalui EKONOMI
2) POLITIK kuasa besar menguasai kerajaan negara umat Islam
3) Serangan secara MILITARI
4) Penghakisan sahsiah umat melalu BUDAYA 
5) Eksploitasi SUMBER ALAM umat Islam
6) Peminggiran UNDANG-UNDANG SYARIAH dan mengarusperdanakan undang-undang Barat.
7) Transformasi sistem PENDIDIKAN umat kepada sistem SEKULAR
8) Pengukuhan SEKULARISASI dalam setiap aspek kehidupan umat
9) Mempengaruhi pemikiran umat melalui MEDIA
10) Menekan negara-negara Islam melalui perjanjian-perjanjian antarabangsa
11) Kuasai umat Islam melalui TEKNOLOGI
12) Konflik antara umat Islam melalui krisis KEPIMPINAN
13) Bentuk semula SEMPADAN wilayah umat Islam
14) Tetapkan semua POLISI NEGARA umat Islam agar mesra kuasa Barat
15) Perkukuhkan nilai INDIVIDUALISME, MATERIALISME, KOMERSIALISME

Natijah yang terhasil dari rancangan kuasa Barat ini tercermin pada 3 aspek iaitu: Kemiskinan umat, kebergantungan umat kepada kuasa asing dan seterusnya menyebabkan umat Islam tertindas.

Melihatkan kepada segala helah dan tipu daya Barat yang bertopengkan keuntungan dan kemewahan dunia ini, kita perlu bertanya kepada diri sendiri, apakah usaha kita untuk terus membela Islam? Tanyakan kepada diri kita sendiri dalam setiap minggu berapa hari atau berapa jam masa yang kita peruntukkan untuk kerja-kerja dakwah? Maka bersama-samalah kita menggembleng usaha mempertahankan agama ini, supaya boleh diwarisi oleh generasi akan datang. 


Disediakan oleh,
Mohamad Tarmizi b. Mohamed Rafai
Ketua Biro Dakwah & Tarbiyyah PPINS Pusat.